CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, September 22, 2008

TEKNOLOGI DAN NEGARA DUNIA KETIGA





Negara-negara dunia ketiga ataupun juga dikenali sebagai negara sedang membangun ini dikelasifikasikan sebagai negara yang tidak mempunyai sebarang industri yang sofistikated dan mempunyai pendapatan perkapita yang rendah. Negara ini meliputi hampir keseluruhan di benua Afrika, Asia dan negara-negara Amerika Selatan.

Sebarang ekonomi di negara dunia ketiga dikategorikan sebagai murahan dan mempunyai tenaga kerja yang tidak berskil langsung.Terdapat hampir 70% daripada penduduk dunia ketiga terlibat dalam aktiviti pertanian yang serba kekurangan (tradisional) . Mereka juga merupakan golongan yang tidak sihat, berpenyakit dan sesetengah negara mengalami masalah kebuluran. Kegiatan ekonomi banyak bergantung pada hasil pertanian utama yang tidak komersial dan berbentuk sara diri, rendah harga pasaran dan tidak begitu berkualiti.

Negara-negara dunia ketiga merupakan satu kelompok negara yang terbesar dalam dunia. Pengiktirafan negara-negara dunia ketiga ini adalah berdasarkan kepada konsep pembangunan dalam negara-negara berkenaan. Dilihat dari sudut sejarah, boleh dikatakan hampir keseluruhan negara dunia ketiga ini mempunyai perkaitan yang rapat dengan negara-negara barat, terutamanya negara kuasa barat yang suatu masa dahulu menjajah negara dunia ketiga.

Negara-negara barat yang datang ke negara dunia ketiga ini mempunyai sebab-sebab yang tertentu dan akhirnya mereka akan menguasai dan menakluk negara tersebut. Negara imperialisme ini mengamalkan dasar-dasar negara mereka dan memperkenalkan sistem ekonomi kapitalis mereka di negara jajahan mereka. Pada asalnya negara-negara dunia ketiga ini merupakan negara yang kaya dengan kegiatan ekonomi seperti perlombongan, pertanian, hasil-hasil hutan dan aktiviti perdagangan dengan struktur sosial-politik yang stabil dan bebas daripada kawalan dan cengkaman negara asing.

Keadaan ini berubah selepas kedatangan pihak barat yang menjajah negara mereka dan telah menyebabkan negara dunia ketiga ini mengalami krisis ekonomi kerana segala khazanah alam dan hasil bumi yang lumayan telah dimiliki dan diambil oleh pihak penjajah. Dengan itu juga maka bermulalah satu proses pembangunan semula di negara-negara dunia ketiga. Akibat daripada proses pembangunan yang tidak seimbang di negara dunia ketiga ini telah mewujudkan negara yang dikenali sebagai negara miskin dan negara barat yang menjajah itu dikenali sebagai negara kaya.

Masyarakat dunia ketiga yang baru bebas daripada cengkaman kolonialisme telah menyuarakan pandangan tentang ketidakseimbangan dan ketidaksetaraan (imbalances ann inequalities) pengaliran maklumat dunia.

Pandangan sebegini dilontarkan kerana ia berkait rapat dengan piagam penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Unesco yang melihat komuniti antarabangsa telah menetapkan objektifnya bahawa, untuk menjamin dan memelihara kebebasan, dan pengaliran bebas maklumat (Mac Bride, 1980:35).

Namun secara praktiknya, piagam ini hanya tinggal sebagai retorik semata-mata. Oleh sebab itu, Unesco telah mengambil daya usaha untuk mewujudkan sebuah suruhanjaya yang diamanahkan untuk mengkaji masalah komunikasi. Hasilnya, suruhanjaya yang diketuai oleh Sean Mac Bride dari Ireland telah menyiapkan laporan 'Many Voices: One World pada 1980.

Laporan ini walaupun mempunyai kekurangan tetapi telah mengakui bahawa wujudnya ketidakseimbangan dalam pengaliran maklumat. Berdasarkan itu kita boleh menilai satu contoh klasik bagaimana berlakunya ketidakseimbangan pengaliran maklumat iaitu melalui dominasi pengedaran berita dunia oleh lima agensi gergasi berita antarabangsa iaitu Associated Press (AP - Amerika Syarikat), United Press International (UPI - Amerika Syarikat), Reuters (Britain), Agence France Presse (AFP - Perancis) dan Telegrafnoie Sovetskavo Souizza (TASS - bekas Soviet Union).

Dominasi lima agensi ini telah menyebabkan liputan yang tidak seimbang mengenai negara-negara dunia ketiga. Peristiwa-peristiwa di negara dunia ketiga kurang mendapat perhatian mereka, dan kalau ada pun pemaparannya adalah dalam bentuk negatif. Apa yang nyata, arah pengaliran berita bergerak dari dunia pertama ke dunia ketiga dalam ketidakseimbangan (Whetmore, 1995:400).

Sebenarnya, sejak sekian lama kita perlu mengakui bahawa sistem komunikasi dunia dikuasai oleh negara-negara maju seperti Amerika. Dari negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah, dan Jepun inilah gergasi media dunia beroperasi menyebarkan maklumat ke seluruh dunia.

Melalui syarikat multinasional, maklumat bukan sahaja menjadi sebagai komoditi utama, malah produk budaya turut dieksport ke negara-negara membangun. Syarikat-syarikat ini, seperti yang disebut oleh Mowlana (1975), telah menjadi pengeluar utama dalam penghasilan maklumat dan produk budaya di peringkat global. Syarikat sebegini biasanya terdiri daripada pengeluar filem, penerbit buku, stesen televisyen, agensi berita, syarikat rakaman dan sebagainya.

Akibatnya, wujudlah apa yang disebut sebagai neo-kolonialisme. Ia merupakan satu penjajahan bentuk baru bagi menggantikan kolonialime yang tersingkir lewat Perang Dunia ke-2. Gejala inilah yang amat dibimbangi ketika ini, kerana ancaman produk budaya yang dibawa mampu meranapkan sesebuah negara jika pemerintahnya tidak berhati-hati. Media yang profesional merupakan komponen penting untuk kestabilan Negara demokrasi yang majmuk. Sebagai ‘kekuatan keempat’ (fourth estate), media adalah ‘pelindung demokrasi, pembela kepentingan umum… menyekat penyelewengan pemerintah dan membela hak-hak demokrasi warga negara’.


Media memainkan peranan penting dalam membntu menyelesaikan konflik melalui fungsinya sebagai suara rakyat, dan sebagai alat menyebarkan maklumat, meningkatkan kesedaran dan pengetahuan.. Walaupun pengaruh media semasa konflik dari dulu telah diakui, sebenarnya baru dalam beberapa tahun belakangan organisasi pembangunan sebagai aspek yang dapat memberi impak positif terhadap konflik, baik melalui fungsinya sebagai saluran informasi dengan kemampuannya untuk menyatukan kaum.

0 comments: