CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, September 7, 2008

PERLAKSANAAN E-DEMOKRASI DALAM KONTEKS TEKNOLOGI KOMUNIKASI


Pelaksanaan e-kerajaan dalam sektor perkhidmatan awam dipercayai dapat menambahbaik mutu perkhidmatan awam agar lebih kos efektif dan berkesan. Di samping itu, ia juga dilihat mewujudkan satu saluran baru bagi meningkatkan penyertaan secara langsung rakyat dalam pengubalan dasar-dasar awam selaras dengan harapan pendukung sistem demokrasi yang berpaksikan kepentingan rakyat. Oleh hal demikian, e-kerajaan dianggap sebagai langkah pertama untuk memperkukuhkan pembentukan masyarakat madani (civil society) dan institusi –institusi pembinaan konsensus demokrasi melalui ICT.


Justeru itu, artikel ini akan cuba menganalisis makna konsep e-kerajaan dan kaitan dengan e–demokrasi dan meninjau aplikasinya . Walaupun Malaysia melaksanakan e –kerajaan dengan baik melalui kekuatan teknologi, kewangan dan penduduk yang semakin celik komputer namun untuk merealisasikan e- demokrasi adalah sesuatu yang sukar dan masih jauh. Halangan budaya politik, birokrasi dan kurangnya “political will” kerajaan dalam mengubah proses urustadbir (governance) institusi –intitusi yang sedia ada agar lebih terbuka serta bertanggungjawab secara digital memperlahankan amalan e-demokrasi secara berkesan. E-kerajaan yang mampu mewujudkan interaksi dua hala antara kerajaan dan rakyat yakni hubungan bersifat perkongsian dan kerjasama masih belum dapat dicapai sepenuhnya. Aplikasi ICT dalam proses demokrasi dengan jayanya bukan setakat memerlukan “hardware“ tetapi juga perubahan minda dan perundangan yang mungkin mengambil jangkamasa panjang.

Revolusi sains dan teknologi dalam bidang komunikasi yang melibatkan penggunaan komputer, Internet, kamera digital dan telefon bimbit telah memberi kesan yang amat besar dalam hubungan sesama manusia secara individu mahupun secara kolektif. Perubahaan pantas teknologi bidang komunikasi dan maklumat ini telah berjaya mengubah cara dan jangkamasa manusia membuat, melaksana dan mengunjur keputusan mengenai pelbagai isu yang berkaitan politik, ekonomi dan sosialnya. Justeru itu, penggunaan teknologi dan informasi komunikasi (ICT ) khususnya internet telah diakui berjaya membawa kesan positif dalam penambahbaikan dan kemajuan pelbagai bidang di sektor swasta dan awam dengan meningkatkan produktiviti secara lebih efisien, kos efektif dan mengurangkan karenah birokrasi. Selaras dengan kehendak dunia hari ini yang mementingkan mutu, kos, ketepatan dan kepantasan dalam segala aktiviti pengeluaran dan pengagihan barangan serta perkhidmatan, telah memanfaatkan aplikasi ICT untuk mencapai prestasi pulangan (output) yang paling tinggi secara kebendaan mahupun kepuasan.

Walaupun konsep dan definisi demokrasi adalah pelbagai namun untuk skop tulisan ini maksud demokrasi yang asas sahaja akan digunapakai. Menurut Kamus Webster, demokrasi di takrifkan sebagai;

“a government in which the supreme power is vested in the
people and exercised by them directly or indirectly through a
system of representation.”

Berpandukan definisi demokrasi di atas yang menekankan prinsip asas kuasa rakyat dan kerajaan perwakilan, maka e–demokrasi dapat ditakrifkan sebagai cara bagaimana menggunakan aplikasi sistem teknologi maklumat untuk membimbing, memperbaiki dan melaksanakan prinsip-prinsip amalan demokrasi.Penggunaan ICT secara aktif dipercayai dapat
mengujudkan warga yang bermaklumat dan berpengetahuan serta ruang penyertaan yang luas
dalam proses politik seperti yang dianjurkan oleh prinsip demokrasi. Rakyat secara tidak langsung dapat meningkatkan penyertaan mereka dalam proses pengubalan undang-undang, dasar awam dan proses eksekutif kerajaan dengan mengambil bahagian dalam kaji selidik pendapat umum, perbahasan, forum, perundingan, blog lobi kumpulan pendesak dan pada masa yang saman terdedah kepada maklumat dan pengakuan pakar yang dikemukakan melalui ICT.

Menurut Tsagarousianou, Roza, Damian Tambini dan Cathyrn Bryan dalam buku suntingan mereka “Cyber democracy” menyatakan konsep e-demokrasi walaupun hanya merupakan satu impian khayalan para sarjana sains politik dan aktivitis sosial pada tahun 1960-an, tetapi kini semakin menjadi kenyataan mulai pertengahan tahun 1990-an. Penggunaan teknologi Internet yang meluas dan pengenalan e–kerajaan dalam penambahbaikan mutu penyampaian perkhidmatan awam telah merealisasikan konsep dan harapan e-demokrasi. Pendekatan hubungan ini amat jelas apabila e-kerajaan yang diberi takrifan oleh kebanyakan
negara pengamal demokrasi seperti di New Zealand dan United Kingdom sebagai ;

“ .. a way for governments to use the new technologies to
provide people with more convenient access to government
information and services, to improve the quality of the services
and to provide greater opportunities to participate in our
democratic institutions and processes. ”

Pembangunan konsep dan penggunaan e- kerajaan ini adalah berdasarkan perspektif yang melihat rakyat sebagai pelanggan perkhidmatan awam dan kerajaan sentiasa dengan penuh tanggungjawab perlu meningkatkan keberkesanan fungsi “eksekutif ” melalui penambahbaikan mutu sistem penyampaian, keterbukaan (transparent) pemerolehan dan penyebaran maklumat penting kerajaan demi peningkatan legitimasi kuasa kerajaan yang memerintah.


Namun begitu, rakyat yang dianggap sebagai “pelanggan” hanyalah merupakan salah satu aspek hubungan interaksi antara kerajaan dan rakyat dalam e-demokrasi. Menurut para pengkaji model e–demokrasi, Organisasi untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) misalnya telah mendefinisikan tiga jenis interaksi e-demokrasi. Pertama, interaksi ICT dalam penyaluran maklumat sehala dari kerajaan kepada rakyat. Kedua, interaksi hubungan ICT dua hala yang memberi peluang kepada rakyat untuk memberi maklumbalas mengenai isu-isu dan ketiga, interaksi yang bersifat hubungan perkongsian bijak di mana rakyat terlibat secara aktif dalam proses pengubalan dasar melalui ICT.

Begitu juga dengan Coleman dan Gotze mencadangkan model e- demokrasi melalui empat senario yang sama. Pertama, pewujudan sokongan teknologi yang bersifat “hardware” sebagai saluran penyertaan demokrasi secara langsung. Kedua, menfokuskan gerakan penggalakan tanggungjawab sivik masyarakat di peringkat akar umbi seperti e-komuniti melalui ICT. Ketiga, menyelaras maklumbalas dan tinjauan pendapat umum melalui ICT dalam pengubalan dasar awam dan keempat, menggunakan teknologi ICT secara menyeluruh sebagai satu kaedah utama dalam mengembelingkan penglibatan warganegara dalam pembentukan dasar awam dan halatuju negara. Rakyat sesungguhnya mempunyai hubungan dengan kerajaan dari pelbagai perspektif lain misalnya hubungan sebagai “Warganegara” di mana rakyat sebagai pelakon utama bertanggungjawab menentukan hala tuju masyarakat dan negara dalam kerajaan demokrasi yang autonomi. Penggunaan ICT bagi merealisasikan harapan warganegara dalam amalan prinsip demokrasi secara sepenuhnya masih di peringkat awal dan banyak kekurangannya. Misalnya, jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar, kos teknologi yang tinggi dan kurang kepercayaan kepada keselamatan maklumat sering dijadikan alasan untuk tidak melaksanakannya.

Namun begitu, perhatian yang serius telah ditumpukan bagi membangunkan aplikasi e-kerajaan dalam penyampaian dasar awam sebagai langkah awal untuk melahirkan warganegara yang bermaklumat dan meningkatkan minat rakyat dalam penyertaan penggubalan dasar awam. ICT diharapkan akan terus memainkan peranan penting sebagai penentu agenda (agenda setting) pendapat umum masyarakat melalui pelbagai saluran komunikasinya dalam pembentukan, perlaksanaan dan penilaian dasar-dasar awam pada setiap masa dan tidak lagi terikat pada musim-musim pilihanraya semata-mata. Adalah menjadi harapan para pengkaji politik untuk ICT memainkan peranannya dengan lebih luas dan aktif di masa akan datang untuk merealisasikan sesuatu pemerintahan yang benar-benar diwakili rakyat. Mereka percaya bahawa penggunaan aplikasi-aplikasi ICT dapat memantau dan menegakkan perkara –perkara asas amalan demokrasi seperti “check and balance” , “rule of law”, urustadbir yang baik (good governance) dan akauntabiliti dalam hubungan antara pemerintah dengan warganegara.

Oleh yang demikian, memandangkan konsep dan definisi e–demokrasi begitu luas, maka aktiviti e-kerajaan adalah merupakan langkah awal menjadikan e-demokrasi sebagai satu realiti. Dalam rencana ini, penulis akan hanya mengupas aspek e-demokrasi dalam konteks e-kerajaan seperti yang diamalkan di peringkat kerajaan tempatan di Malaysia. Justeru itu, persoalan utamanya ialah bagaimana e-kerajaan tempatan berupaya menjadi saluran penyertaan dan penglibatan rakyat dalam proses pengubalan dan perlaksanaan dasar-dasar awam dalam kerangka pengagihan kuasa (decentralization) daripada kerajaan pusat kepada kerajaan tempatan. Di samping itu, tumpuan juga akan diberikan kepada halangan-halangan aplikasi ICT e-kerajaan dan e-demokrasi di negara-negara maju khususnya.

0 comments: