CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, September 25, 2008

Ketidakseimbangan aliran maklumat cara baru penjajahan Negara dunia pertama ke atas Negara membangun.

Perkembangan teknologi komunikasi telah mengubah dunia. Dahulu orang tidak dapat membayangkan, dunia yang begitu luas akan menjadi ‘perkampungan sejagat’ (global village). Tetapi kini bayangan tersebut telah menjadi kenyataan, masyarakat dunia boleh berinteraksi antara satu sama lain hanya melalui saluran-saluran komunikasi dalam Negara masing-masing (globalisasi). Jaringan-jaringan komunikasi pada zaman ini telah semakin meluas dengan sokongan dan kepantasan teknologi yang dikatakan telah berjaya mendekatkan proses berkomunikasi.

Pandangan ‘global village’ ini asasnya dikemukan oleh sarjana komunikasi terkemuka, Marshall Mc Luhan lebih 30 tahun lalu, idea beliau tercetus dan meluas menerusi tulisannya dalam ‘The Medium is the Message: An Inventory of effects and War’. Idea-idea Mc Luhan ini dikatakan tercetus melalui kejayaan pelancaran dan operasi satelit telekomunikasi pertama dunia iaitu Intelsat pada tahun 1962.

Menurut Mc Luhan, melalui perkembangan seperti kemudahan satelit, beliau berkeyakinan bahawa perkembangan teknologi komunikasi yang pantas akan menyediakan warga dunia dengan maklumat mengenai sesuatu kejadian di dunia dengan pantas, cekap dan tepat. Hasilnya, masyarakat dunia bagaikan berjiran. Misalnya, apa yang berlaku di Amerika dan Negara Eropah yang lain dapat diketahui oleh penduduk Malaysia dalam tempoh yang pantas.

Masyarakat dunia menganggap kewujudan perkampungan sejagat dapat menyelesaikan perkara berkaitan ketidakseimbangan maklumat antara Negara membangun dan Negara maju. Anggapan sedemikian kerana perkembangan teknologi maklumat yang pesat telah mempengaruhi pembanggunan system komunikasi sedunia semenjak tahun 1945.

Ini terbukti antaranya, teknik 'rephographic' terkini; teknologi video - televisyen, videotex, sistem 'home video', video cakera padat; teknik audio dan teknik litar bersepadu. Lebih daripada itu, teknologi pemprosesan maklumat elektronik dan telekomunikasi telah menambah skop, volume dan kelajuan aliran trafik maklumat merentasi sempadan antara negara (Hamelink, 1994:59). Akibatnya dikatakan perkampungan sejagat menyebabkan maklumat dan pengetahuan mudah diakses dan pemerintah tidak lagi mempunyai monopoli.

Hasilnya, wujud komuniti global dalam perkampungan sejagat. Dan ketika inilah institusi antarabangsa berpeluang meluaskan pengaruhnya dan secara idealnya ini terjadi dalam persekitaran di mana 'demokrasi penyertaan' (participacy democracy) meluas kerana komunikasi telah dipertingkatkan (Low, 1997:140).

Walaubagaimanapun, anggapan ini boleh dipertikaian kerana pihak pemerintah masih lagi memiliki kawalan dalam penghasilan produk budaya di negara-negara membangun termasuk di Malaysia.

Tidak semudah yang disangkakan, jika dilihat dari segi pengaruh sememangnya perkampungan sejagat dan pembangunan teknologi komunikasi memberi kesan yang positif seluruh dunia. Namun disebalik anggapan penyampaian maklumat yang pantas, cekap dan betul, terdapat kekeliruan dan pelbagai persoalan timbul di sini kerana wujud pelbagai kawalan media dari Negara maju ke atas Negara membangun.

Ini sesuai seperti dalam dakwaan Marx [dlm. Marx dan Engels, 1982: 64], bahawa "kelas yang memiliki kaedah pengeluaran bahan di masa yang sama akan menguasai juga kaedah pengeluaran mental, agar idea-idea mereka yang tidak mempunyai kaedah pengeluaran mental akan tunduk kepada idea-idea kelas pemilik ini."

Oleh yang demikian, tidak hairanlah sekiranya Mustafa dan Loh (1996:100) berpendapat bahawa, di negara ini kawalan berlangsung dalam tiga cara iaitu perundangan, pemilikan dan kawalan dalam penerbitan besar, dan melalui promosi terhadap budaya kewartawanan pembangunan bertanggungjawab (responsible development journalism) antara pengamal-pengamal profesion ini.

Hakikatnya, maklumat dunia dimonopoli oleh syarikat gergasi antarabangsa. Perkongsian maklumat dengan istilah perkampungan sejagat sepertimana yang dibawa oleh McLuhan telah dipersoalkan oleh negara-negara membangun sejak lebih dua dekad yang lalu.

Masyarakat dunia ketiga yang baru bebas daripada cengkaman kolonialisme telah menyuarakan pandangan tentang ketidakseimbangan dan ketidaksetaraan (imbalances and inequalities) pengaliran maklumat dunia di mana tuntutan ini dikenali ‘New World Information and Communication Order (NWICO)’.

Tuntutan ini dilontarkan kerana tuntutan ini berkait rapat dengan piagam penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Unesco yang melihat komuniti antarabangsa telah menetapkan objektifnya bahawa, untuk menjamin dan memelihara kebebasan, dan pengaliran bebas maklumat (Mac Bride, 1980:35).

Namun secara praktiknya, piagam ini hanya tinggal perbualan kosong semata-mata. Melalui desakan ini, Unesco telah mengambil tindakan untuk mewujudkan sebuah suruhanjaya yang diamanahkan untuk mengkaji dan menyemak masalah komunikasi. Hasilnya, suruhanjaya yang diketuai oleh Sean Mac Bride dari Ireland telah menyiapkan laporan 'Many Voices: One World pada 1980.

Dalam laporan Mac Bride isu yang diperdebatkan di Unesco adalah berhubung informasi global yang menuntut ‘decolonization of information’ iaitu pengaliran maklumat yang lebih seimbang, hak kedaulatan dan kebebasan penggunaan sumber semulajadi yang didominasikan oleh informasi dari barat.

Laporan ini walaupun mempunyai kekurangan tetapi telah diakui oleh PBB dan Unesco bahawa wujudnya ketidakseimbangan dalam pengaliran maklumat.

Satu contoh yang boleh dinilai bagaimana berlakunya ketidakseimbangan pengaliran maklumat iaitu melalui dominasi pengedaran berita dunia oleh lima agensi gergasi berita antarabangsa iaitu Associated Press (AP - Amerika Syarikat), United Press International (UPI - Amerika Syarikat), Reuters (Britain), Agence France Presse (AFP - Perancis) dan Telegrafnoie Sovetskavo Souizza (TASS - bekas Soviet Union). Dominasi lima agensi ini telah menyebabkan liputan yang tidak seimbang mengenai negara-negara dunia ketiga. Peristiwa-peristiwa di negara dunia ketiga kurang mendapat perhatian mereka, dan kalau ada pun pemaparannya adalah dalam bentuk negatif. Apa yang nyata, arah pengaliran berita bergerak dari dunia pertama ke dunia ketiga dalam ketidakseimbangan (Whetmore, 1995:400).

Seharusnya, kita menyedari bahawa telah sekian lama sistem komunikasi dunia dikuasai oleh negara-negara maju seperti Amerika.

Dari negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah, dan Jepun inilah gergasi media dunia beroperasi menyebarkan maklumat ke seluruh dunia. Melalui syarikat multinasional, maklumat bukan sahaja menjadi sebagai komoditi utama, malah produk budaya turut dieksport ke negara-negara membangun.

Menurut Mowlana (1975) Syarikat-syarikat ini telah menjadi pengeluar utama dalam penghasilan maklumat dan produk budaya di peringkat global. Syarikat sebegini biasanya terdiri daripada pengeluar filem, penerbit buku, stesen televisyen, agensi berita, syarikat rakaman dan sebagainya. Biarpun produk budaya yang disebarkan adalah berbentuk negatif dan sama sekali bertentangan dengan adat atau kepercayaan, Negara dunia ketiga harus menerimanya kerana faktor ekonomi, politik dan keselamatan . Misalnya Negara Islam dilabelkan sebagai penganas, walaupun masyarakat dan Negara Islam tidak boleh menerimanya penguasaan teknologi komunikasi Negara maju telah menyebabkan berita negative disebarkan berterusan sehingga menimbulkan conflik dalam Negara islam sendiri. Jika di Malaysia sekarang ini kita boleh lihat pengaruh tentang memburuk-burukkan Negara Islam memberi impak kepada masyarakat di mana majlis-majlis peguam mempersoalkan isu petukaran agama dengan mengadakan forum.

Isu inilah yang amat dibimbangi oleh Negara membangun ketika ini termasuk Malaysia, kerana ancaman produk budaya yang dibawa mampu meranapkan sesebuah negara jika pemerintahnya tidak berhati-hati.

0 comments: